Pengumuman: Lawatan Timbalan Ketua Setiausaha MOA ke Projek AgF Lanchang pada 27/01/2012.

Selasa, 20 Mac 2012

Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Pahang Sebagai Pengeluar Nangka Negara

Malaysia dijangka akan menjadi pengeluar dan pengeksport nangka apabila Projek Perintis Pertanian Aplikasi Perdana (Agriculture Flagship) yang mengabungkan pengurusan Agriculture Inteligent System (AIS) dan Amalan Pertanian Baik (AMP), AIS-TKPM Lanchang mampu mengeluarkan hasilnya menjelang tahun 2020.

Ini dinyatakan oleh Y.Bhg Dato’ Hj. Raihan bin Sharif Timbalan Ketua Setiausaha – TKSU (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ketika melakukan Program Lawatan bagi Pemantauan Projek tersebut di Lanchang, Temerloh, Pahang pada 27 Januari 2012 yang lalu.

Beliau yang diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Operasi) mewakili Ketua Pengarah Pertanian Encik Mustafa Kamal bin Baharuddin telah diberi taklimat oleh Dato’ Hajah Kamariah binti Ismail Pengarah Pertanian Negeri Pahang mengenai kemajuan projek perintis ini.

TKPM Lanchang yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Pahang di bawah Pengurusan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) pada tahun 2002 dan mula beroperasi pada tahun 2006. Dengan keluasan 3,600 ha, program yang telah dilancarkan pada 13 Jun 2009 oleh YAB Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu, TKPM telah berkembang dengan pesatnya.

Seluas 400 ha telah diperuntukkan untuk diusahakan oleh usahawan perseorangan. Sejumlah 216 ha telah bertanam, di mana 20 ha telah pun mengeluarkan hasil. Manakala kawasan seluas 2,800 ha dikhaskan untuk diusahakan oleh pihak syarikat atau swasta dengan keluasan bertanam 1,460 ha dengan 300 ha telah pun mengeluarkan hasil. Malaysian Agrofood Corporation (MAFC) merupakan syarikat utama yang beroperasi disini, di mana syarikat ini menyediakan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan bagi pengeluaran hasil pertanian.

Manakala MOA telah menyediakan kemudahan asas seperti jalan-jalan ladang, kolam-kolam takungan air bagi kemudahan pengusaha. Y. Bhg Dato’ TKSU (P) juga telah dibawa melawat ke Projek Nangka swasta antaranya Syarikat Suhan Movie & Trading Sdn Bhd dan Syarikat Demensi Sejahtera yang mengusahakan tanaman nangka. Di mana tanaman nangka merupakan tanaman utama memandangkan struktur tanah dan topografi yang berbukit sangat sesuai dengan tanaman ini.

Antara yang menarik dalam program lawatan tersebut apabila Dato’ TKSU (P) telah diperkenalkan kepada selebriti Encik Rosyam Nor yang telah menceburkan diri dalam usahawan tani di bawah syarikat Suhan Movie & Trading Sdn Bhd. Beliau telah meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra bersama Encik Rosyam Nor dan Tuan Haji Yusof yang masing-masing mengusahakan tanaman nangka.


Dato’ TKSU (P) juga telah dihidangkan dengan pelbagai jenis varieti nangka yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut antaranya nangka varieti Tekam Yellow, Subang dan Mastura. Dato’ Raihan dalam ulasannya berharap agar usahasama antara Jabatan Pertanian bersama MOA dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang diteruskan bagi memaju dan merealisasikan TKPM Lanchang sebagai pengeluar dan pengeksport nangka utama negara.

Menurut beliau varieti seperti Tekam Yellow yang bertekstur manis dan ranggup (crunchy) dapat menembusi pasaran tempatan dan eksport selain berpotensi untuk diproses sebagai industri hiliran.