Pengumuman: Lawatan Timbalan Ketua Setiausaha MOA ke Projek AgF Lanchang pada 27/01/2012.

Ahad, 10 Jun 2012

TKPM Lanchang imbangi pembangunan



BILANGAN penduduk dunia yang semakin bertambah menyebabkan keperluan bahan makanan meningkat tinggi. Ia mewujudkan senario permintaan melebihi tahap pengeluaran.
Persoalan utama, sampai bilakah keadaan ini akan dibiarkan berterusan? Jawapan terbaik bagi mengatasi krisis makanan daripada berulang ialah dengan mengadakan semula revolusi pertanian di Malaysia.
Ini kerana kemajuan pesat yang dicapai tidak dapat menjamin keperluan makanan mencukupi kerana kita terlalu bergantung kepada negara luar untuk memenuhi keperluan makanan kita.
Sebab itu bidang pertanian diberi perhatian istimewa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan harapan kita mampu mengeluarkan hasil-hasil pertanian yang dapat memenuhi permintaan rakyat di negara ini.
Salah satu jalan penyelesaiannya ialah mewujudkan pertanian moden dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di seluruh negara.
Untuk tujuan itu, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mempunyai peranan besar dalam menjana pertanian negara kepada tahap sara diri sepenuhnya serta mengawal dan membekalkan makanan kepada rakyat.
Salah satu taman pengeluaran makanan negara yang terbesar di Pantai Timur ialah di Lanchang, Temerloh, Pahang. Taman ini diwartakan untuk projek tanaman buah-buahan pada skala besar sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan ECER.
Esok, 13 Januari 2009 Perdana Menteri akan melancarkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang.
Pelancaran ini membuktikan projek pertanian dalam ECER masih relevan dan mempunyai peranannya.
ECER yang dilancarkan Oktober 2007 bukan sahaja sebagai pelan induk untuk membangunkan sektor pertanian yang memerlukan negara memberi perhatian semula terhadap sektor itu tetapi juga membantu meningkatkan tahap pendapatan rakyat setempat.
Pelancaran Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang meletakkan Pahang memiliki dusun buah-buahan kedua terbesar di negara ini selepas Selangor. Taman ini dijangka menghasilkan 1,501 tan buah-buah setahun.
Projek Lanchang itu akan memberikan kerajaan negeri Pahang pendapatan tahunan sebanyak RM1.55 bilion sebaik-baik ia beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua dekad, demikian menurut Jabatan Pertanian Pahang.
Taman Kekal Pengeluaran Makanan merupakan salah satu projek berimpak tinggi ECER dalam membangunkan industri makanan berasaskan buah-buahan di negara ini. Ia juga bertujuan mempromosi projek pertanian komersial berskala besar membabitkan pekebun kecil serta sektor swasta.
Dengan projek bersaiz besar ia berpotensi menarik pelabur dari dalam dan luar negara menceburi pengeluaran buah-buahan tertentu dari taman tersebut pada harga kompetitif.
Di bawah Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang itu, Jabatan Pertanian Negeri Pahang telah diperuntukkan 3,600 hektar tanah bagi pembangunan kebun buah-buahan komersial, dengan 3,200 hektar daripadanya diperuntukkan bagi sektor swasta, manakala baki 400 hektar diperuntukkan untuk diusahakan pekebun kecil dengan bantuan syarikat tertentu sebagai induk.
Projek skala besar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang bakal memperlihatkan potensi sebenar industri hiliran dengan membangunkan kawasan pemprosesan, pembungkusan dan pengetinan hasil pertanian.
Malah ia juga akan memperkenalkan projek pertanian berkonsep moden untuk menjamin pengeluaran produk dengan nilai tambah lebih tinggi dan komersial.
Usaha itu selaras dengan pembangunan ekonomi kebangsaan membabitkan tiga teras utama iaitu pertanian, pembuatan serta perkhidmatan untuk memangkin pertumbuhan luar bandar melalui peningkatan produktiviti pertanian dan hasilnya, menyama ratakan sosioekonomi negara.
Melalui Taman Kekal Pengeluaran Makanan, konsep perladangan diperkenalkan menerusi syarikat terpilih yang bertindak sebagai syarikat induk bagi membantu para pengusaha dan petani memasarkan produk mereka secara meluas.
Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lancang membabitkan Malaysian Agrifood Corporation Bhd. (MAFC) sebagai syarikat peneraju dan penyertaan para pekebun kecil di bawah skim pertanian kontrak.
Menerusi program itu, hasil tanaman dijual kepada MAFC untuk dipasarkan. Dengan kaedah ini, pekebun tidak lagi perlu bimbang terhadap aspek pasaran kerana ia dilakukan oleh MAFC.
Taman Kekal Pengeluaran Makanan memberi penekanan kepada buah-buahan terpilih yang mempunyai nilai, pasaran serta boleh diusahakan secara berterusan menggunakan teknologi baru tanpa menjejaskan alam sekitar.
Banyak kelebihan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang misalnya dari segi penjimatan kos pembangunan dan operasi, kemudahan pemprosesan, pemasaran dan pengedaran, pengawalan serangan serangga dan makhluk perosak, nilai tambah rangkaian pembekal, mengguna sepenuhnya sumber, bekalan berterusan dengan harga terkawal dan memudahkan perolehan pinjaman kewangan.
Paling penting, ia meletakkan industri buah-buahan Malaysia lebih berdaya saing untuk pasaran luar negara.
Kesan ECER mulai dirasai oleh penduduk tempatan apabila melihat kawasan hutan Lanchang mula diterokai untuk dibangunkan dengan industri pertanian.
Penduduk tempatan patut bersyukur dan gembira kerana Lanchang akan bertukar wajah daripada sebuah bandar kecil menjadi pusat pertumbuhan industri berasaskan pertanian yang boleh meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan mereka.

Selasa, 20 Mac 2012

Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Pahang Sebagai Pengeluar Nangka Negara

Malaysia dijangka akan menjadi pengeluar dan pengeksport nangka apabila Projek Perintis Pertanian Aplikasi Perdana (Agriculture Flagship) yang mengabungkan pengurusan Agriculture Inteligent System (AIS) dan Amalan Pertanian Baik (AMP), AIS-TKPM Lanchang mampu mengeluarkan hasilnya menjelang tahun 2020.

Ini dinyatakan oleh Y.Bhg Dato’ Hj. Raihan bin Sharif Timbalan Ketua Setiausaha – TKSU (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ketika melakukan Program Lawatan bagi Pemantauan Projek tersebut di Lanchang, Temerloh, Pahang pada 27 Januari 2012 yang lalu.

Beliau yang diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Operasi) mewakili Ketua Pengarah Pertanian Encik Mustafa Kamal bin Baharuddin telah diberi taklimat oleh Dato’ Hajah Kamariah binti Ismail Pengarah Pertanian Negeri Pahang mengenai kemajuan projek perintis ini.

TKPM Lanchang yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Pahang di bawah Pengurusan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) pada tahun 2002 dan mula beroperasi pada tahun 2006. Dengan keluasan 3,600 ha, program yang telah dilancarkan pada 13 Jun 2009 oleh YAB Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu, TKPM telah berkembang dengan pesatnya.

Seluas 400 ha telah diperuntukkan untuk diusahakan oleh usahawan perseorangan. Sejumlah 216 ha telah bertanam, di mana 20 ha telah pun mengeluarkan hasil. Manakala kawasan seluas 2,800 ha dikhaskan untuk diusahakan oleh pihak syarikat atau swasta dengan keluasan bertanam 1,460 ha dengan 300 ha telah pun mengeluarkan hasil. Malaysian Agrofood Corporation (MAFC) merupakan syarikat utama yang beroperasi disini, di mana syarikat ini menyediakan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan bagi pengeluaran hasil pertanian.

Manakala MOA telah menyediakan kemudahan asas seperti jalan-jalan ladang, kolam-kolam takungan air bagi kemudahan pengusaha. Y. Bhg Dato’ TKSU (P) juga telah dibawa melawat ke Projek Nangka swasta antaranya Syarikat Suhan Movie & Trading Sdn Bhd dan Syarikat Demensi Sejahtera yang mengusahakan tanaman nangka. Di mana tanaman nangka merupakan tanaman utama memandangkan struktur tanah dan topografi yang berbukit sangat sesuai dengan tanaman ini.

Antara yang menarik dalam program lawatan tersebut apabila Dato’ TKSU (P) telah diperkenalkan kepada selebriti Encik Rosyam Nor yang telah menceburkan diri dalam usahawan tani di bawah syarikat Suhan Movie & Trading Sdn Bhd. Beliau telah meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra bersama Encik Rosyam Nor dan Tuan Haji Yusof yang masing-masing mengusahakan tanaman nangka.


Dato’ TKSU (P) juga telah dihidangkan dengan pelbagai jenis varieti nangka yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut antaranya nangka varieti Tekam Yellow, Subang dan Mastura. Dato’ Raihan dalam ulasannya berharap agar usahasama antara Jabatan Pertanian bersama MOA dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang diteruskan bagi memaju dan merealisasikan TKPM Lanchang sebagai pengeluar dan pengeksport nangka utama negara.

Menurut beliau varieti seperti Tekam Yellow yang bertekstur manis dan ranggup (crunchy) dapat menembusi pasaran tempatan dan eksport selain berpotensi untuk diproses sebagai industri hiliran.